2009年6月9日星期二

Latihan

Nyatakan dua peristiwa yang berlaku pada tahap ekspedisi dalam binaan plot novel Ekspedisi.
Peristiwa pertama ialah ketika Hadi baru balik dari sekolah apabila disoal oleh Pak Salleh tentang rancangan Hadi untuk menyertai ekspedisi ke Gunung Itik. Manakala, peristiwa kedua pula sewaktu Pak Salleh melarang Hadi menyertai ekspedisi kerana ekspedisi itu diketuai oleh Cikgu Murad. Pak Salleh amat benci akan Cikgu Murad yang dianggapnya sebagai orang yang berpura-pura baik, tetapi sebenarnya dia jahat.


Apakah yang dimaksudkan dengan konflik?
Nyatakan dua konflik yang dialami oleh watak utama dalam novel Ekspedisi?
Konflik ialah pertentangan yang dialami oleh watak dalam cerita. Pertentangan itu berlaku secara pertentangan idea, pendapat atau fizikal. Pertentangan itu mungkin berlaku antara watak dengan watak lain, antara watak dengan persekitaran atau dalam diri watak itu sendiri.
Dua konflik yang dialami oleh watak utama (Hadi) ialah dia berkonflik dengan ayahnya. Hadi berasa tertekan kerana ayahnya tidak membenarkan dia menyertai ekspedisi pimpinan Cikgu Murad. Lebih mendukacitakannya ialah apabila Pak Salleh menuduh Cikgu Murad sebagai penjenayah. Dia pergi juga tanpa pengetahuan ayahnya, tetapi dengan kebenaran ibunya. Yang kedua ialah konflik dalam konflik dalam diri Hadi sendiri. Di diserang rasa bersalah kerana menyertai ekspedisi tanpa kebenaran ayahnya. Oleh sebab itulah, dia kerap mengalami mimpi buruk (Pak Salleh menarik tangan Hadi dan Hadi hampir-hampir terjatuh ke dalam gaung) dan mengigau ketika bermalam di dalam hutan bersama rakan-rakan seekspedisinya.


*Novel ini turut mengetengahkan konflik luaran seperti tindakan Pak Salleh yang memarahi Hadi yang ingin menyertai ekspedisi. Walaupun peristiwa ini adalah mimpi Hadi semata-mata tetapi ini dapat dijalin dalam bentuk konflik luaran dengan baik dan berkesan oleh pengarang.
* Konflik yang dihadapi oleh Cikgu Murad ialah beliau dibenci oleh Pak Salleh. Selain itu, Pak salleh juga menuduhnya sebagai seorang penjenayah. Pak Salleh menceritakan hal itu kepada rakan-rakannya hingga terdapat orang terpengaruh dengannya. Keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan imej Cikgu Murad sebagai seorang guru yang dianggap baik di kampung itu.
*Selain itu, Cikgu Murad juga menghadapi konflik apabila ditahan oleh polis untuk disiasat kerana disyaki terlibat dalam kejadian jenayah. Dia terpaksa menghadapi beberapa kesulitan dalam tahanan itu.
*Konflik dalaman dalam novel ini turut dirasai oleh Pak Salleh kerana memikirkan Cikgu Murad. Apabila Cikgu Murad dibebaskan daripada tuduhan, Pak Salleh tidak boleh menerima hakikat tersebut. Hal ini kerana dia nampak dengan matanya sendiri Cikgu Murad terbabit dalam sindiket tersebut. Bagaimanapun, konflik tersebut berakhir apabila pihak polis menunjukkan penjenayah sebenar yang wajahnya mirip Cikgu Murad.

*Isi tambahan


Nyatakan maksud saspens dan berikan contoh berdasarkan novel Ekspedisi.
Saspens bermaksud peristiwa yang dapat menimbulkan perasaan ingin tahu atau keadaan tertanya-tanya di kalangan pembaca. Contoh peristiwa saspens dalam novel Ekspedisi ialah rancangan Hadi hendak menyertai ekspedisi yang diketuai oleh Cikgu Murad telah ditentang oleh ayahnya. Pak Salleh tidak membenarkan Hadi pergi kerana tidak percaya akan kepimpinan Cikgu Murad. Pak Salleh mengatakan bahawa kawasan hutan di belakang Kampung Dataran sangat berbahaya juga. Pembaca tertanya-tanya sama ada Hadi dapat menyertai ekspedisi tersebut atau tidak kerana ayahnya sangat benci akan Cikgu Murad.
Peristiwa yang disampaikan dengan menggunakan teknik saspens ialah peristiwa Pak Salleh naik darah setelah mengetahui bahawa Hadi tetap akan menyertai ekspedisi anjuran Cikgu Murad. Dia bertindak agak ganas, kerana terlalu marah dengan Hadi. Namun, di kemuncak kemarahannya itu, barulah pembaca mengetahui peristiwa tersebut hanya mimpin yang dialami oleh Hadi.
Unsur saspens ketiga ialah apabila Mak Jamilah risau kerana Pak Salleh belum balik daripada berburu di dalam hutan. Malahan, Mak Jamilah bercadang hendak membuat laporan polis. Pembaca tertanya-tanya sebab-sebab Pak Salleh belum balik dan perkara yang berlaku kepada Pak Salleh.
Contoh lain ialah Hadi telah menyertai ekspedisi ke Gunung Itik tanpa pengetahuan ayahnya. Tiba-tiba Hadi telah terserempak dengan ayahnya. Ayahnya memaksa dia pulang. Pembaca tertanya-tanya apakah yang akan terjadi seterusnya, tetapi hal tersebut terjawab apabila pembaca akhirnya tahu bahawa Hadi yang sebenarnya hanya bermimpi.
Unsur saspens seterusnya ialah sewaktu Pak Musa, Cikgu Murad dan Hadi berbual-bual di luar khemah, mereka terlihat cahaya lampu suluh menuju ke arah mereka. Pak musa masuk ke dalam khemah untuk mengambil senapang. Cahaya itu kemudian hilang. Pembaca tertanya-tanya tentang pemilik lampu suluh tersebut.
Contoh unsur saspens yang lain yang dapat dilihat dalam novel Ekspedisi ini ialah ketika anggota ekspedisi menemukan sebuah pondok yang terletak di dataran di balik lereng gunung. Semua bahan binaan pondok itu dibuat daripada barang-barang keluaran kilang. Unsur ini terus berkembang apabila muncul tiga orang lelaki yang mencurigakan masuk ke dalam pondok. Pembaca tertanya-tanya tentang pondok dan ketiga-tiga lelaki yang ditemui oleh anggota ekspedisi tersebut.
Contoh unsur saspens yang terakhir ialah Pak Salleh mengganggap Cikgu Murad penjenayah yang telah terlibat dalam kes mencuri jongkong emas. Kemudian, tersebar berita bahawa polis telah menangkap Cikgu Murad. Oleh itu, pembaca tertanya-tanya tentang siapa Cikgu Murad yang sebenarnya. Unsur saspens mengenai Cikgu Murad berakhir apabila Pak Salleh, Hadi dan Mak Jamilah ke balai polis dan di situlah mereka mengetahui bahawa salah seorang penjenayah itu mirip Cikgu Murad.

没有评论: